Tuesday, October 25, 2011

GANJARAN PAHALA BERJEMAAH


Sabda Rasulullah s.a.w.: Bila kamu melihat seorang lelaki yang sentiasa ke masjid, maka bersaksilah bahawa dia memang seorang yang beriman. Riwayat Ahmad dan Tirmizi.

Berkata Ibnu Mas'ud: Memang jelas daripada pemerhatianku, bahawa tidak ada yang meninggalkan solat berjemaah melainkan orang munafik yang jelas sikap munafiqnya. Riwayat Muslim.

27 kali ganda ganjaran

Daripada Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda". Riwayat Bukhari dan Muslim.

Ancaman Kepada Yang Berterusan Meninggalkan Solat Berjemaah

Daripada Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda: …sesungguhnya memang aku bercadang untuk menyuruh diiqamahkan sembahyang dan aku suruh seseorang untuk mengimami para jemaah,dan aku pula keluar dengan beberapa orang lelaki yang membawa bersama mereka beberapa ikatan kayu api untuk pergi ke rumah-rumah orang yang tidak hadir kepada solat berjemaah, lalu aku bakarkan rumah-rumah mereka. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Meninggalkan Jemaah Sifat Orang Munafiq

Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: "Sesiapa yang suka untuk berjumpa Allah di besok hari (qiamat) dalam keadaan muslim (selamat), maka hendaklah dia menjaga sembahyang-sembahyang fardu (dengan dilakukan berjemaah) di mana sahaja azan berkumandang. Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan kepada Nabi kamu sunanul huda (jalan-jalan hidayah), dan sesungguhnya solat berjemaah itu sebahagian daripada sunanul huda. Maka jika kamu bersembahyang di rumah-rumah kamu sebagaimana orang yang tidak hadir ini bersembahyang di rumahnya, maka sebenarnya kamu telah meninggalkan sunnah Nabi kamu. Dan jika kamu meninggalkan sunnah nabi kamu, nescaya kamu akan sesat…Dan sesungguhnya kami (para sahabat) menganggap bahawa tiada yang tidak hadir untuk berjemaah melainkan orang munafiq yang jelas munafiqannya.Sesungguhnya ada seorang lelaki (di kalangan kami yang uzur) dibawa (juga untuk berjemaah) dengan dipapah oleh dua orang, (dipapah) sehinggalah dia diletakkan ke dalam saf (sembahyang).

Hadis riwayat Muslim.

Mengejar ganjaran Allah

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak ada sembahyang yang lebih berat kepada orang munafiqin (untuk dilakukannya secara berjemaah) lebih daripada solat isyak dan subuh. Kalaulah mereka mengetahui (ganjaran pahala) yang ada pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang sekalipun dalam keadaan merangkak". Riwayat Bukhari Muslim.

Daripada Usman bin Affan r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang sembahyang Isya' berjemaah, maka seolah-olah dia telah bangun separuh malam, dan sesiapa yang sembahyang subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersembahyang keseluruhan malam. Hadis riwayat Muslim.


No comments: