Friday, February 11, 2011

VALENTINE HARI MERAIKAN KEMATIAN PADERI

Menjelang tiba 14 Februari, sudah ramai dari kalangan umat yang mengaku Islam sedang bersedia untuk menyambut hari kebesaran pendita kristian yang bernama St Valentine. Si ayah senyap senyap mencari hadiah untuk membuat kejutan kepada si ibu. Si anak sedang mencongak di tempat hiburan mana akan diadakan parti. Siaran tv sedang giat melakukan kempen.

Dalam kepercayaan Kristian katolik, Valentine adalah seorang pendita suci,orang alim yang telah mati syahid mengikut kepercayaan agama mereka. Lalu ianya diberi gelaran Saint Valentine(santo atau santa). Kisahnya bermula pada tahun 270M ketika raja Rome yang bernama Cladius melarang para askar perang dari berkahwin. Cladius percaya dengan melarang pemuda dari berkahwin akan menjadikan mereka kuat tenaga untuk berperang dan agresif.


Namun begitu dasar ini ditentang oleh dua orang pendeta marius. Mereka berdua secara senyap senyap menggalakkan pemuda perang berkahwin. Gerakan secara senyap ini merebak dan mendapat sambutan hebat sehingga akhirnya diketahui oleh raja Cladius. Cladius memerintahkan Valentine dan Marius ditangkap lalu dipenjarakan sebelum dihukum mati.


Ketika di dalam penjara ada seorang gadis anak kepada warden penjara yang selalu menziarahi Valentine. Kunjungan setiap hari gadis tersebut membuahkan rasa cinta yang mendalam. Hingga pada saat dihukum mati, Valentine mengirimkan sepucuk surat dan sekuntum bunga kepada gadis itu.
Selepas kematian Valentine para penganut katolik sepakat untuk menyambut hari kematiannya sebagai memperingati Valentine yang sanggup mati dan masing-masing akan menghadiahkan bunga kepada pasangan masing masing.


PANDANGAN ISLAM ISU SAMBUTAN VALENTINE
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan ‘Amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam’.Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: ‘Bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan terbabit mempunyai unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah serta dilarang oleh Islam’.
Oleh itu awasilah anak-anak kita supaya tidak terjebak dengan perayaan Kristian ini.

Friday, January 14, 2011

MUTIARA AL QURAN DAN HADIS

Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami

Al Mukminun ayat 15

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan saying.Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.

Ar Rum ayat 17

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang melakukan kezaliman, kelak kamu akan disambar oleh api neraka.

Maksud Hadis

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api".

H.R.Termizi

Dan pada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar RasuIullah saw. bersabda, "Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi saw. menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, (6) hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim".

H.R. Hakim

Cara2 untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah SWT

  • Belanjakan harta pada jalan yang diredai oleh Allah.
  • Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.
  • Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.
  • Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. InsyaALLAH akan diganti oleh Allah tanpa kita sedar.
  • Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri.) Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang2 yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.
  • Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib(zakat) perlu diberi secara terang sebagai menegakkan syiar Islam.
  • Berikan sesuatu yang kita sayangi.
  • Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat.
  • Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui jual beli(perniagaan). Menurut Nabi 9/10(90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca dari perniagaan. Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul. Perniagaan merupakan amalan fardhu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.
  • Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.

Orang yang bakhil tidak mahu memanfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Sedekahlah (belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadis lain, Nabi bersabda : Takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi : Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.

Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi ALLAH. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi.

Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyaALLAH rezeki yang dikurniakan oleh ALLAH akan kekal walaupun telah digunakan. ALLAH akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu yang ada, nanti ALLAH akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta, belanjakan harta yang ada, ALLAH akan tambahkan lagi daripada sumber yang kita tidak ketahui.

Thursday, December 16, 2010

KEISTIMEWAAN HARI ASYURA

Keistimewaan 10 Muharam diterangkan dalam hadis Abu Hurairah ra, bahwa Allah SWT. telah mewajibkan Bani Israil berpuasa sehari dalam satu tahun, yakni pada hari Asyura. Oleh sebab itu Nabi Muhammad saw menganjurkan umatnya dan melapangkan keluarganya pada hari itu. Kerana orang yang melapangkan keluarganya pada hari itu akan dilapangkan oleh Allah kehidupannya sepanjang tahun. Nabi juga bersabda, "Hari Asyura adalah hari puasa bagi orang Quraisy di zaman jahiliyah, dan Rasulullah saw berpuasa. Ketika tiba di Madinah, beliau berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa." (H.R. Aisyah).

Dengan demikian berpuasa pada hari Asyura, hukumnya sunnah.

10 Muharram dianggap hari besar Islam kerana pada hari ini banyak terjadi peristiwa penting, dan hari kemenangan para pejuang penegak kebenaran. Pada hari itu terjadi :

  • Allah SWT menjadikan 'Arasy.
  • Allah SWT menjadikan Malaikat Jibril as.
  • Allah SWT menjadikan Luh Mahfuzh.
  • Hari Pertama Allah SWT menciptakan alam.
  • Hari Pertama Allah SWT menurunkan rahmat.
  • Hari Pertama Allah SWT menurunkan hujan dari langit
  • Nabi Adam as. bertaubat kepada Allah SWT, dan taubatnya diterima sehingga ia bersih dari dosa.
  • Nabi Idris as diangkat oleh Allah SWT ke tempat yang lebih tinggi.
  • Nabi Nuh as diselamatkan oleh Allah SWT ketika banjir melanda umatnya yang zalim.
  • Nabi Ibrahim as diselamatkan oleh Allah SWT dari pembakaran Raja Namrud.
  • Allah SWT menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa as.
  • Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara Mesir, setelah meringkuk beberapa tahun akibat fitnah Siti Zulaika.
  • Nabi Ya'qub as disembuhkan oleh Allah SWT dari penyakit yang dideritanya.
  • Nabi Yunus as dikeluarkan dari perut ikan paus, setelah berada didalamnya selama 40 hari 40 malam.
  • Allah SWT mengizinkan Nabi Musa as membelah laut merah untuk menyelamatkan diri dari dikejar Fir'aun dan bala tenteranya.
  • Kesalahan Nabi Daud as diampuni oleh Allah SWT.
  • Nabi Sulaiman as dikurniai Allah SWT kerajaan besar.

Monday, November 22, 2010

PENGAGIHAN ZAKAT KEPADA ASNAF OLEH PZS DI MASJID AR RAHMAN

Pada Khamis ini bersamaan 25 November akan berlangsung majlis pengagihan bantuan zakat kepada asnaf zakat sempena persiapan persekolahan 2011.Masjid akan diadakan di Masjid ar Rahman Bukit Badong bermula dari jam 11.30 pagi hinggalah selesai selepas solat Zohor.seramai hampir 200 orang penerima akan hadir dalam menerima zakat dari pihak PZS.

PERT. NASYID ANTARA MASJID DAERAH KUALA SELANGOR













Pada 20 November baru-baru ini, pihak Masjid Ar rahman telah menghantar ke pertandingan nasyid antara masjid dan surau daerah Kuala Selangor yang di adakan di perkarangan surau Al Hidayah Saujana Utama.

Dalam pertandingan tersebut wakil Nasjid Ar Rahman telah mendapat tempat ketiga.Johan disandang oleh surau Al Ansor, Kg Kuantan manakala naib johan dari suaru Al Hidayah Saujana Utama.Johan telah membawa pulang wang tunai RM500, naib johan RM300 manakala tempat ketiga RM200 beserta hadiah iringan.
Majlis yang berlangsung dengan gemilang telah diserikan dengan alunan selawat oleh keluarga YB Dr Dzulkefly b Ahmad yang bertindak sebagai juri hakim serta persembahan selingan.

Tahniah diucapkan kepada yang berjaya dan syabas kepada wakil masjid kita yang telah membuat persembahan yang baik dan mengharumkan nama masjid.

Tuesday, November 9, 2010

SOLAT HAJAT DAN YASIN SEMPENA SPM




Pada tahun ini pihak pengurusan Masjid Ar Rahman menjemput pelajar-pelajar yang bakal menduduki SPM bermula 23 November ini serta ibu bapa hadir ke majlis tersebut .Majlis akan diadakan pada malam Jumaat akan datang iaitu 11 Nov. bermula dari solat Maghrib berjemaah hinggalah selesai.

Besarlah harapan supaya ibu bapa serta pelajar dapat bersama-sama hadir untuk kita mendoakan kejayaan anak-anak Kampung Bukit Badong ini.Jamuan ringan juga disediakan selepas selesai majlis.

Diharapkan supaya program ini dapat mendekatkan para remaja dengan masjid dan seterusnya didoakan menjadi remaja cemerlang sepertimana yang dicita-citakan.

KEM TAHFIZ KEMBALI LAGI !




Setelah kejayaan mengadakan Kem Tahfiz kali pertama pada 2009 maka pada tahun ini kem tersebut akan dijalankan lagi bermula 22 November hingga 2 Disember.

Pada tahun lepas kem tahfiz ini berjaya menghimpunkan seramai 100 orang peserta, Sebanyak RM13 000 telah dikutip dan dibelanjakan melalui yuran, peruntukan masjid serta sumbangan orang ramai. Kesemua wang tersebut digunakan untuk membiayai kos makanan pelajar sebanyak 3 kali , pengurusan serta bayaran fasilitator.

Bagi tahun ini pengurusan Masjid Ar Rahman menetapkan peserta kem adalah berumur di antara 10 tahun hingga 16 tahun sahaja manakala yuran yang dikenakan adalah sangat murah iaitu sebanyak RM50 sahaja.Pelajar akan berada di kem ini mulai jam 8.00 pagi hinggalah 5.00 petang .Kem ini hanya berjalan selama 4 hari seminggu iaitu Isnin hingga Khamis selama dua minggu berturut-turut.

Para fasilitator yang akan membimbing peserta kem terdiri daripada pelajar UIA,USIM serta pelajar maahad tahfiz yang berhampiran. Sijil-sijil akan dikeluarkan di akhir program.

Pihak masjid merayu akan sumbangan daripada para ibu bapa berupa sumbangan dalam bentuk kewangan atau menaja makanan harian peserta kem ini memandangkan kos yang ditanggung adalah sangat tinggi.Sumbangan boleh dibuat melalui Tabung Kem Tahfiz yang disediakan di masjid atau melalui AJK masjid.

Sama-samalah kita menjayakan kem yang sangat bermanfaat ini bagi anak-anak kita disamping sebagai pengisian masa cuti mereka .Mudah-mudahan adanya kem seumpama ini, masa anak-anak kita tidak terbuang begitu sahaja dan dapat mengelakkan mereka daripada gejala yang tidak sihat pada musim cuti sekolah ini.

Kepada para ibu bapa segeralah mendaftarkan nama anak-anak anda sebelum terlambat.Tempat terhad.