Tuesday, October 25, 2011

GANJARAN PAHALA BERJEMAAH


Sabda Rasulullah s.a.w.: Bila kamu melihat seorang lelaki yang sentiasa ke masjid, maka bersaksilah bahawa dia memang seorang yang beriman. Riwayat Ahmad dan Tirmizi.

Berkata Ibnu Mas'ud: Memang jelas daripada pemerhatianku, bahawa tidak ada yang meninggalkan solat berjemaah melainkan orang munafik yang jelas sikap munafiqnya. Riwayat Muslim.

27 kali ganda ganjaran

Daripada Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda". Riwayat Bukhari dan Muslim.

Ancaman Kepada Yang Berterusan Meninggalkan Solat Berjemaah

Daripada Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda: …sesungguhnya memang aku bercadang untuk menyuruh diiqamahkan sembahyang dan aku suruh seseorang untuk mengimami para jemaah,dan aku pula keluar dengan beberapa orang lelaki yang membawa bersama mereka beberapa ikatan kayu api untuk pergi ke rumah-rumah orang yang tidak hadir kepada solat berjemaah, lalu aku bakarkan rumah-rumah mereka. Riwayat Bukhari dan Muslim.

Meninggalkan Jemaah Sifat Orang Munafiq

Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: "Sesiapa yang suka untuk berjumpa Allah di besok hari (qiamat) dalam keadaan muslim (selamat), maka hendaklah dia menjaga sembahyang-sembahyang fardu (dengan dilakukan berjemaah) di mana sahaja azan berkumandang. Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan kepada Nabi kamu sunanul huda (jalan-jalan hidayah), dan sesungguhnya solat berjemaah itu sebahagian daripada sunanul huda. Maka jika kamu bersembahyang di rumah-rumah kamu sebagaimana orang yang tidak hadir ini bersembahyang di rumahnya, maka sebenarnya kamu telah meninggalkan sunnah Nabi kamu. Dan jika kamu meninggalkan sunnah nabi kamu, nescaya kamu akan sesat…Dan sesungguhnya kami (para sahabat) menganggap bahawa tiada yang tidak hadir untuk berjemaah melainkan orang munafiq yang jelas munafiqannya.Sesungguhnya ada seorang lelaki (di kalangan kami yang uzur) dibawa (juga untuk berjemaah) dengan dipapah oleh dua orang, (dipapah) sehinggalah dia diletakkan ke dalam saf (sembahyang).

Hadis riwayat Muslim.

Mengejar ganjaran Allah

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak ada sembahyang yang lebih berat kepada orang munafiqin (untuk dilakukannya secara berjemaah) lebih daripada solat isyak dan subuh. Kalaulah mereka mengetahui (ganjaran pahala) yang ada pada kedua-duanya, nescaya mereka akan datang sekalipun dalam keadaan merangkak". Riwayat Bukhari Muslim.

Daripada Usman bin Affan r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang sembahyang Isya' berjemaah, maka seolah-olah dia telah bangun separuh malam, dan sesiapa yang sembahyang subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersembahyang keseluruhan malam. Hadis riwayat Muslim.


SETIAUSAHA MASJID BERANGKAT KE TANAH SUCI


Pada 19 Oktober yang lalu, setiausaha masjid ,Ustaz Ishak Hj Mokhtar telah berangkat ke tanah suci bersama dengan isteri beliau untuk menunaikan panggilan haji.Turut sama berangkat pada tarikh tersebut ialah Wak Taslin dan Wak Kurdi.

Kita doakan beliau , begitu juga dengan jemaah yang lain mendapat haji yang mabrur.Moga-moga giliran kita yang masih belum mengerjakan haji akan sampai pada tahun –tahun akan datang sebelum kita dipanggil untuk mengadapnya ke alam barzakh.


Wednesday, October 12, 2011

Ruginya kita jauh dari Al Quran ......

Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al - Quran, bukannya Nabi, bukannya malaikat dan sebagainya".

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Quran adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima Allah.Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa "Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya".

Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu. Bila selesai dikebumikan, orang ramai akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat; Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan. Tetapi orang yang kacak itu akan berkata : "Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!" Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata: "Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat. Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi" Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat-malaikat dari syurga.

Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah. Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat. Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan - amalan kita sewaktu di dunia.

Allah telah menjanjikan Al - Quran sebagai pemberi syafaat terulung dan Allah itu adalah benar. Dekatilah Al - Quran dan jadikalah ia teman di dunia dan pemberi syafaat di Akhirat. Semoga Allah swt memberikan kita restu dan hidayahnya.

Kelebihan membaca Al-Quran

Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: " Seseorang yang ahli di dalam al-Qu'ran akan berada di kalangan para malaikat yang mana mereka itu adalah pencatit- pencatit mulia dan lurus, dan seseorang yang tidak lancar di dalam membaca al-Qu'ran dan terpaksa bertungkus-lumus mempelajarinya akan mendapat ganjaran yang dua kali ganda,"

“Akan berada di kalangan malaikat-malaikat" bermakna seumpama malaikat-malaikat yang memindahkan al-Qu'ran daripada Luh Mahfuz (kitab yang terpelihara di sisi Allah), ia juga menyampaikannya kepada orang lain melalui pembacaannya, dengan ini kedua-duanya mempunyai pekerjaan yang sama, atau ia akan berada bersama-sama dengan malaikat-malaikat di hari pengadilan.

Mulla Ali Qari telah mengeluarkan semula daripada riwayat Tabrani dan Baihaqi bahawa seseorang yang payah untuk menghafal al-Quran tetapi terus juga mempelajarinya di dalam hati akan mendapat dua kali ganda ganjarannya. Begitulah juga seseorang yang ingin untuk menghafalnya tetapi tidak ada kebolehan untuk melakukannya, tetapi tidak berputus asa daripada membacanya akan dikira oleh Allah Yang Maha Kuasa sebagai termasuk di kalangan para hafiz (huffaz) di hari Kebangkitan semula kelak.